BONGAWAN – Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi N.30 Bongawan, Tan Sri Anifah Aman menegaskan bahawa setiap janji yang dibuat kepada rakyat akan direkodkan dan dipenuhi, selaras dengan prinsip yang dipegangnya sejak mula berkhidmat dalam arena politik dan kerajaan.
Menurut bekas Menteri Luar itu, beliau mempunyai satu tabiat yang tidak pernah ditinggalkan sejak dahulu membawa sebuah buku kecil dan sebatang pen ke mana sahaja beliau pergi, termasuk sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Ramai tanya, ‘Tan Sri tulis apa dalam buku kecil tu?’
Sebenarnya… saya tulis janji saya kepada rakyat,” tulisnya penuh emosi dalam laman sosial Facebook milik beliau.
Anifah berkata disiplin itu bermula sejak hari pertama beliau menjadi wakil rakyat, kerana beliau percaya bahawa setiap janji yang dibuat membawa bersama harapan rakyat yang tidak boleh dikhianati.
“Kalau saya berjanji, saya mesti tunaikan. Sebab pada saya, bila kita berjanji ada harapan yang kita genggam. Dan tidak ada yang lebih menyakitkan dalam hidup ini selain menghancurkan harapan seseorang,” jelasnya.
Beliau mengakui dirinya manusia biasa yang mungkin penat atau terlupa, justeru mencatat setiap aduan dan permohonan penduduk menjadi langkah untuk memastikan tiada satu pun yang terabai.
“Bukan untuk nampak rajin.
Bukan untuk tunjuk depan kamera.
Tapi sebab saya takut satu hari nanti saya lupa, dan kerana kelemahan saya itu, harapan orang lain musnah,” tambahnya.
Mengulas suasana kempen PRN, Anifah berkata beliau kini membawa buku catatan itu lebih kerap kerana bertemu ratusan penduduk setiap hari, masing-masing dengan aduan, harapan dan permintaan untuk keperluan kampung.
“Semua saya tulis. Satu persatu. Supaya saya takkan lupa,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menzahirkan rasa hairan apabila ada calon yang membuat janji besar-besaran ketika pilihan raya tetapi gagal menunaikannya setelah menang.
“Senang betul lidah mereka menyusun kata. Tapi bila tiba masa untuk tunaikan diam, hilang, senyap. Yang lagi teruk, ada yang buat-buat lupa. Itu sangat kejam,” katanya.
Anifah menegaskan bahawa beliau bukan calon sempurna, namun komited menjadi pemimpin yang tidak memungkiri amanah rakyat.
“Berpolitik ini bukan pertandingan siapa paling pandai bercakap. Ia tentang amanah. Tentang orang kampung yang percaya kita. Tentang keluarga yang letak harapan. Tentang masa depan yang kita sama-sama bina,” ujarnya.
Anifah menutup kenyataannya dengan tekad bahawa selagi diberi mandat, buku kecil yang dibawanya akan kekal menjadi simbol tanggungjawab terhadap setiap janji.
“Buku kecil ini mungkin nampak biasa. Tapi bagi saya, ini lambang bahawa setiap janji walau sekecil apa pun adalah amanah.
Selagi Tuhan izinkan saya berkhidmat, buku ini akan sentiasa ada di tangan saya,” katanya.
Beliau sekali lagi menegaskan:
“Harapan rakyat bukan sekadar kata-kata. Ia amanah.” -MalayaDailyToday


























































