KUALA LUMPUR – Tiga ahli utama kumpulan jenayah terancang Geng Captain Praba yang diburu sejak 2023 akhirnya dibawa pulang ke Malaysia dan didakwa di mahkamah selepas ditahan di India dalam satu operasi khas Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Tertuduh, C. Navindren Raj, S. Praftifkumar dan S. Sridharan, didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang pada Selasa atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan.
Pertuduhan dibacakan melalui jurubahasa Tamil dan tiada pengakuan direkodkan.
Kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi serta diklasifikasikan sebagai kes keselamatan serius di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Jika sabit kesalahan, ketiga-tiga tertuduh berdepan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun.
Diburu rentas negara
Menurut polis, ketiga-tiga suspek merupakan antara individu utama yang dikehendaki berkaitan sindiket Geng Captain Praba, kumpulan jenayah terancang yang dipercayai aktif sejak 2023 dan dikaitkan dengan pelbagai jenayah berat termasuk pembunuhan, serangan bersenjata, samun berkumpulan serta khianat dengan api.
Siasatan mendapati, ketiga-tiga suspek telah melarikan diri ke luar negara dan tersenarai sebagai buruan antarabangsa menerusi Interpol Red Notice yang dikeluarkan atas permintaan PDRM.
“Maklumat risikan membawa kepada pengesanan suspek di Mumbai, India. Sebelum itu, mereka dipercayai cuba memasuki India namun ditolak masuk oleh pihak imigresen di Lapangan Terbang Manchester, United Kingdom, berikutan status mereka sebagai individu berisiko tinggi,” menurut sumber polis.
Susulan itu, pihak berkuasa India dengan kerjasama rapat PDRM menahan ketiga-tiga suspek di Lapangan Terbang Antarabangsa Chhatrapati Shivaji Maharaj (CSMIA), Mumbai, Ahad lalu.
Polis memaklumkan, proses penahanan tidak berjalan lancar apabila suspek bertindak agresif, namun situasi berjaya dikawal sebelum mereka ditahan sepenuhnya.
Operasi Jack Sparrow
Penahanan itu merupakan sebahagian daripada operasi khas PDRM yang dinamakan Operasi Jack Sparrow, diketuai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan sokongan pihak berkuasa India.
Polis menyifatkan kejayaan operasi tersebut sebagai hasil kerjasama risikan dan penguatkuasaan yang berterusan antara kedua-dua negara dalam membanteras jenayah terancang merentas sempadan.
Kawalan keselamatan maksimum
Selepas ditahan, ketiga-tiga suspek diekstradisi dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi Rabu dengan kawalan keselamatan ketat.
Polis memaklumkan, tahap keselamatan maksimum dirancang lebih awal bagi proses pemulangan suspek ke negara ini berikutan risiko ancaman keselamatan yang tinggi.
Mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang bagi tujuan dokumentasi sebelum dihadapkan ke mahkamah.
Ketibaan tertuduh di perkarangan mahkamah turut disertai kawalan ketat anggota polis bersenjata dan berpakaian taktikal.
Sindiket masih disiasat
Sebelum ini, seramai 13 lelaki telah didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang pada 8 Oktober 2025 atas pertuduhan sama, membabitkan kejadian jenayah di ladang sawit Jenjarom antara Disember 2023 hingga 11 September 2025.
Polis menegaskan siasatan terhadap rangkaian Geng Captain Praba masih diteruskan dan tidak menolak kemungkinan tangkapan lanjut dibuat.
Kes masih dalam perbicaraan. -MalayaDailyToday




























































